KUCHING: Agrobank menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2023 yang berjumlah RM233,045.09 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di bawah selian Majlis Islam Sarawak (MIS).
Majlis penyerahan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin kepada Yang Dipertua MIS, Datu Misnu Taha dan disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Pejabat Premier Sarawak, Petra Jaya hari ini.
Tengku Ahmad dalam pada itu, menegaskan komitmen pihaknya untuk terus memberi sumbangan zakat kepada Kerajaan Sarawak setiap tahun.
“Pada tahun depan, kita akan terus memberi sumbangan zakat kepada Kerajaan Sarawak bagi membantu asnaf-asnaf yang memerlukan dan memastikan manfaat zakat sampai kepada golongan yang tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan tersebut.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pihaknya juga telah berbincang dengan Premier berhubung langkah-langkah untuk menyokong peningkatan sektor pertanian di Sarawak, khususnya Tahap Sara Diri (SSL) dalam industri pertanian yang bersasar.
“Kami membincangkan bagaimana kita boleh menumpukan bantuan untuk kewangan dan pembiayaan kepada sektor-sektor peningkatan makanan seperti padi, penternakan udang, kelapa dan sebagainya.
“Kita menyambut baik usaha-usaha Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan pertanian khususnya di dalam industri seperti angromakanan dan sebagainya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Premier Sarawak turut mengambil maklum mengenai aktiviti-aktiviti Agrobank termasuk sasaran untuk membuka dua buah cawangan mikro di Spaoh dan Gedong pada awal 2025.
Turut hadir Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.
