KUCHING: Kerajaan Sarawak digesa mempertimbangkan dua cadangan bagi menangani masalah hakisan akibat arus deras Sungai Batang Lupar dan Pantai Tanjung Riong Maludam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, jalan utama dari Kampung Agropolitan Seduku ke Pekan Lingga sepanjang 31.3 kilometer (km) semakin berbahaya kerana dikhuatiri jalan tersebut semakin terhakis akibat arus deras Sungai Batang Lupar.
“Ini terutama di kawasan km 4.2 dari Kampung Agropolitan Seduku menuju ke Lingga, yang mana jarak perantaran sungai ke jalan utama dalam anggaran 10 hingga 15 meter (m) sahaja.
“Kami tidak dapat menjangkakan berapa lama jalan tersebut boleh bertahan, maka kami mohon kerajaan negeri mempertimbangkan dua cadangan bagi menangani masalah tersebut.
“Pertama, pembinaan benteng di km 4.2 dari Kampung Agropolitan Seduku menuju ke Lingga dengan anggaran panjang dua km.
“Kedua, untuk jangka masa panjang, cadangan bagi membina jalan alternatif baharu dari Agropolitan Seduku ke Lingga,” katanya .
Beliau berkata demikian semasa membahas Rang Undang-undang Perbekalan (2025), 2024, dan usul untuk merujuk resolusi anggaran perbelanjaan pembangunan bagi tahun 2025.
Katanya, keadaan Pantai Tanjung Riong Maludam yang semakin terhakis dan jarak antara pantai menuju ke jalan utama Maludam dianggarkan berbaki 14 hingga 15 meter jaraknya.
“Yang lebih membimbangkan adalah keselamatan kediaman penduduk di sekitar kawasan tersebut yang sangat terdedah dengan hakisan pantai.
“Kami berharap isu ini mendapat perhatian Kerajaan Negeri dan seterusnya membantu rakyat yang terkesan,” ujarnya.
