Mendapan Jalan Batang Sadong-Simunjan akan dibaiki, dipasang tanda amaran

KUCHING: Jalan Batang Sadong-Simunjan yang mengalami mendapan dan boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya akan dibaiki pada tahun depan.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, lokasi mendapan berlaku di 1.5kilometer (km) dari Jambatan Batang Sadong menuju ke Simunjan.

“Kerja-kerja pembaikan dijangka dilaksanakan pada suku kedua tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Awla Dris (GPS- Simunjan) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Aidel berkata, bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan memasang tanda amaran tambahan di lokasi dan dijangka siap pada penghujung bulan ini.

“JKR Sarawak akan menjalankan kerja-kerja penyiasatan secara terperinci untuk mengenalpasti punca pemendapan,” tambahnya.

Beliau berkata, ia untuk menyediakan cadangan membaik pulih mendapan di jalan tersebut yang telah siap dinaik taraf sepanjang 6.2km dengan harga kontrak sebanyak RM25,561,500 pada 19 Januari 2023.