KUCHING: Bangunan baharu Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di sini kini dinamakan ‘Wisma Lestari’.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan nama bangunan baharu itu sempena misi Kerajaan Sarawak untuk membangunkan bandar lestari.
“Kita hendak membangunkan bandar yang lestari, bermaksud hutan simpan di bandar harus diuruskan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Sekalung Budi, Tautan Kasih dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 SFC di sini, malam tadi.
Abang Johari turut menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara SFC, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Pusat Bidioversity Sarawak (SBC).
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Pengurus Besar SFC Abang Arabi Abang Aimran.
