KUCHING: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad merasmikan program Madani Afiat Peringkat Wilayah Sarawak dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat 2024 (Jelajah ANMS) di Dataran Perayaan, Petra Jaya, Kompleks Stadium Negeri, Kuching hari ini.
Sarawak merupakan destinasi keempat pelaksanaan program Jelajah ANMS dan Madani Afiat untuk tahun 2024.
Program Madani Afiat dan Jelajah ANMS yang dilaksanakan ini bertujuan merakyatkan perkhidmatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
dengan merealisasikan reformasi kesihatan dalam Tonggak Kedua, Kertas Putih Kesihatan 2023 yang menyarankan peralihan fokus penyampaian perkhidmatan kesihatan daripada ‘sick care’ (penjagaan sakit) kepada ‘health care’ (penjagaan kesihatan).
Pelbagai aktiviti seperti saringan kesihatan, pameran agensi rakan strategik, jualan Rahmah, pameran dan aktiviti berbentuk interaktif melibatkan agensi Kerajaan Persekutuan, agensi Kerajaan Sarawak, badan komersial, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah diadakan.
Ini sejajar dengan pendekatan seluruh negara anjuran KKM bagi mempromosi kesihatan dan kesejahteraan kepada masyarakat.
