LUNDU: Projek menambah bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padawan telah siap dan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi SMK Lundu projek terbabit dimulakan pada 25 April 2022 dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) dikeluarkan 5 September 2024.
Katanya, Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan pelaksanaan projek dalam Rancangan Malaysia Ke-11(RMK-11), Rancangan Boleh Pinda 4 (RP-4) pada 2019 dengan kos bernilai RM24 juta.
“Skop projek SMK Lundu ini melibatkan sebuah blok akademik, merangkumi pejabat am, bilik guru kanan mata pelajaran, bilik guru, 12 unit bilik darjah, makmal komputer, bengkel, tandas guru, tandas murid, tandas oku, bilik server, bilik utiliti, bilik stor, bilik persediaan dan bilik peralatan bahan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Alexander berkata, skop kemudahan lain turut dibina dalam projek ini seperti gelanggang gunasama (badminton, sepak takraw, dan bola tampar), gelanggang bola keranjang dan gelanggang bola jaring.
Beliau berkata, bagi SMK Padawan, projek ini dimulakan pada 17 Mac 2022 dan siap sepenuhnya pada 4 Oktober 2024.
Katanya, kos kontrak semasa projek ini adalah RM12.2 juta yang juga diluluskan UPE, Jabatan Perdana Menteri dalam RMK-11, RP4.
“Skop utama bagi projek ini adalah membina sebuah blok tambahan dua tingkat yang merangkumi 10 bilik darjah, satu makmal komputer, satu makmal kimia, satu makmal fizik, satu makmal biologi, satu makmal sains, bilik persalinan, tandas murid, tandas guru, stor am dan ruang serbaguna terbuka,” tambahnya.
Katanya, teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) juga digunakan dalam skop pembinaan projek dua sekolah terbabit.
Turut menyaksikan penyerahan projek sekolah itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato’ Sri Nancy Shukri, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Dato’ Seri Azman Ibrahim dan Setiausaha Bahagian Pembangunan KPM, Datuk Masyati Abang Ibrahim.
