Tabung Amanah Bakun perlukan dana

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Ahli Lembaga Tabung Amanah Bakun di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Delegasi Lembaga Tabung Amanah Bakun diketuai Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang.

Menurutnya, kunjungan itu bagi mendapatkan dana untuk tabung berkenaan yang semakin berkurangan setelah hanya mendapat dana RM10 juta ketika penubuhan Tabung Amanah Bakun pada 27 tahun lalu iaitu pada 1997.

Ujarnya, dana ini digunakan untuk memberi biasiswa kepada pelajar secara ‘one-off’ hanya dapat menampung untuk tujuh tahun sahaja lagi dengan RM6 juta dana yang tinggal manakala RM 4 juta dalam bentuk aset dan RM2 juta dalam bentuk kewangan.

“Justeru, pertemuan ini bersama Premier Sarawak bagi mendapatkan nasihat, memohon dana dan telah menyerahkan surat permohonan.

“Kami minta agar Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk menyalurkan dana sebagai salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada Tabung Amanah Bakun termasuk kepada penduduk di Murum yang akan disalurkan melalui tabung ini,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga itu memberitahu, pihaknya telah memohon dana sebanyak RM1 juta untuk penduduk di Bakun dan RM1 juta untuk penduduk di Murum yang akan disalurkan secara tahunan.

Jelasnya, dana ini kelak bukan sahaja kepada pelajar tetapi kepada penduduk di dua kawasan tersebut bagi kegunaan bantuan dan sebagainya.

Turut hadir, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon.