Sarawak tuan rumah Kongres Dunia Reka Bentuk dan Kesihatan 2026

KUCHING: Sarawak menjadi tuan rumah Kongres Dunia Reka Bentuk dan Kesihatan (WCDH) Ke-15 pada 2026, menjadikannya kali pertama acara antarabangsa berprestij itu diadakan di Borneo.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, kongres tersebut akan diadakan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Menurutnya, reka bentuk merupakan peranan penting dalam sektor kesihatan sambil menekankan bahawa ruang, alatan dan persekitaran yang direka bentuk dengan baik adalah penting untuk menyokong kesejahteraan fizikal, mental dan emosi.

“Salah satu fokus utama persidangan itu ialah berkongsi idea mengenai reka bentuk hospital, terutamanya cara mewujudkan ruang yang membuatkan pesakit berasa selesa, hidup dalam persekitaran yang sihat dan bukannya terkurung di bangunan yang membosankan dan steril,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Tetapi dengan reka bentuk yang bijak – menggabungkan elemen seperti seni dan ciri menenangkan – pesakit boleh berasa lebih santai dan selesa. Ini semua tentang reka bentuk, tambahnya.

Tambah Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu lagi, persidangan itu juga sejajar dengan usaha berterusan Sarawak memajukan inisiatif berorientasikan kesihatan.

Inisiatif ini katanya, juga bertujuan menggalakkan persekitaran mampan dan memupuk pembangunan ekonomi, sejajar dengan pengiktirafan Kuching sebagai Bandar dan Komuniti Mesra Umur (AFCC).

Persidangan itu bertemakan ‘Membentuk Masyarakat Sihat Masa Depan: Merekabentuk untuk Tingkah Laku, Ekuiti dan Kelestarian Gaya Hidup Sihat’.

Persidangan itu dijangka menarik penyelidik, profesional kesihatan, perancang bandar, arkitek, penggubal dasar dan pihak berkepentingan lain untuk membincangkan dan meneroka idea inovatif untuk mewujudkan ruang yang lebih sesuai untuk didiami, mampan dan saksama.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Dato Peter Minos, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Kaunselor Tan Kai, Ketua Pegawai Eksekutif Acara Perniagaan Sarawak Amelia Roziman, Pengasas Akademi Reka Bentuk dan Kesihatan Antarabangsa Profesor Alan Dilani, Pengerusi Kongres untuk Kongres Dunia 2026 mengenai Reka Bentuk dan Kesihatan Dr Rosalia Saimon dan dif-dif kenamaan yang lain.