KUCHING: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) menyasarkan untuk membelanjakan 95 peratus daripada peruntukan RM1.31 bilion dalam bajet pembangunannya pada tahun depan.
Menterinya yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bajet itu meningkat sebanyak 64 peratus berbanding peruntukan sebanyak RM799.52 juta untuk 2024.
“Setakat ini, MIPD telah membelanjakan kira-kira 90 peratus daripada peruntukan RM799.52 juta dan menjangka perbelanjaannya meningkat sehingga hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian anugerah cemerlang tahunan MIPD di sini, semalam. Hadir sama dua timbalan beliau, Datuk Majang Renggi dan Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Setiausaha Tetap MIPD, Datu Chiew Chee Yau.
Tahun depan lebih mencabar bagi MIPD, kerana turut diberi tanggungjawab untuk melaksanakan banyak program pembangunan, katanya.
Sebagai misalan, katanya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mempunyai 107 projek bernilai RM6.73 bilion.
MIPD, harus mengurus 18 projek yang masih dalam pembinaan dan 76 lagi pada peringkat prakontrak, katanya dan menambah, kemudian memantau projek jalan raya berharga RM3.9 bilion di bawah pelbagai agensi pembangunan wilayah.
Di bawah Projek Jiwa Murni, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM84.05 juta untuk menaik taraf empat pakej jalan raya.
Tiga masih dalam peringkat pembinaan, katanya dan menegaskan, MIPD yakin dapat menyiapkan projek terbabit.
Uggah menambah, MIPD juga membina jalan raya di kawasan tanah paya, berbukit bukau dan pedalaman yang banyak cerun.
Ini adalah perkara baharu, katanya dan berharap dapat melawat Norway tahun depan untuk mempelajari kaedah yang digunakan oleh negara berkenaan dalam membina jalan raya.
