Petunjuk awal Sarawak maju 2030

KUCHING: Kejayaan Sarawak dalam melaksanakan sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 setakat ini adalah sebagai tanda permulaan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Justeru, beliau menggesa semua pemegang taruh, peringkat pelaksana dan rakyat terus memberi sokongan padu kepada PCDS 2030 dalam usaha Sarawak mencapai kesejahteraan untuk generasi akan datang.

“Bersama-samalah melangkah ke hadapan dengan penuh yakin dan tidak mudah diganggu-gugat,” katanya melancarkan PCDS 2030: Kemuncak 2030 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, dalam sektor pengilangan, Sarawak berjaya menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM21.5 bilion dari 2021 hingga 2023 dengan mewujudkan lebih 11,000 peluang pekerjaan baharu.

Pertumbuhan itu, katanya, bukan setakat mencerminkan kemajuan ekonomi tetapi juga mewujudkan peluang dalam pembangunan yang memerlukan kemahiran dalam industri tempatan.

Dalam sektor pelancongan, katanya, pada 2023, Sarawak menerima kedatangan 3.9 juta pelawat dengan menjana hasil pendapatan daripada pelancongan sebanyak RM9.99 bilion.

Menurut Premier Sarawak, sejajar dengan kelestarian alam sekitar, dalam sektor perhutanan Sarawak berjaya menanam 32.5 juta pokok dari 2021 hingga 2023.

Usaha menanam semula hutan itu, katanya, merupakan komitmen Sarawak dalam memelihara warisan semula jadi untuk generasi akan datang.

Mengenai infrastruktur asas, beliau berkata, Sarawak berjaya membangunkan jajaran jalan raya sepanjang 31,577 kilometer (km) untuk meningkatkan lagi kesalinghubungan di seluruh negeri ini.

Setiap kilometer itu, katanya, menyumbang kepada pembangunan seimbang dan peluang dalam bidang pendidikan, jagaan kesihatan, pembangunan ekonomi untuk memastikan tiada seorang pun ketinggalan.
Pada 2023, beliau berkata, Sarawak mencapai 99.4 peratus liputan bekalan elektrik, 84.3 peratus bekalan air dan 78.8 peratus perhubungan internet.

Sarawak, katanya, benar-benar mahu membangunkan tenaga diperbaharui dengan 60 peratus campuran keupayaan Tenaga Diperbaharui dan lima juta Penghasilan Tenaga Diperbaharui dijual pada 2023.
Beliau menegaskan, kejayaan Sarawak adalah hasil kerjasama Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, sektor swasta dan masyarakat setempat.