KUCHING: Sarawak dijangka mencapai status sebagai wilayah menua pada 2028.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini berdasarkan hasil kajian Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeingTM), Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Sarawak dijangka mencapai status wilayah menua pada 2028 dengan 16 peratus daripada penduduknya terdiri daripada warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Pemerkasaan Warga Emas: Merungkai Penyakit Dementia di CSSC, di sini, hari ini.
Fatimah berkata, berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, unjuran populasi Sarawak bagi 2023 adalah seramai 2,509,500 orang.
Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 318,707 orang (12.7peratus) berumur 60 tahun ke atas.
Selain itu, menurutnya berdasarkan kemasukan pesakit di hospital di Sarawak, didapati ramai pesakit yang mengalami Dementia, namun, di Memory Clinic yang disediakan, tidak ramai yang tampil mendapat perkhidmatan dan intervensi sewajarnya.
“Ini mungkin kerana kebanyakan masyarakat kita menganggapnya sebagai ‘sakit tua’ dan menerima keadaan ini begitu sahaja,” katanya.
Fatimah berkata, Dementia bukanlah sebahagian daripada proses penuaan yang normal dan terdapat rawatan yang dapat memperlahankan perkembangan penyakit ini, sekali gus menggalakkan kebebasan serta meningkatkan kualiti hidup warga emas.
