Sarawak naikkan kadar bantuan bencana

BETONG: Kerajaan Sarawak meluluskan kenaikan kadar bantuan bencana yang diagihkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini termasuk Bantuan Makanan Harian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Sama ada disediakan secara makanan bungkus atau catuan makanan untuk dimasak disediakan pada kadar RM25 dinaikkan kepada kadar baharu RM50 seorang sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian menghadiri Program Latihan dan Simulasi Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2024 di Dewan Perpaduan Debak yang juga Pusat Pemindahan Sementara, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, turut dinaikkan ialah Bantuan Kepada Mangsa Yang Terputus Hubungan (Makanan Kering) dari RM50 kepada RM100 untuk satu pek seorang untuk tempoh seminggu.

“Ini untuk mangsa kebakaran, ribut, tanah runtuh dan lain-lain bencana kecuali kemarau,” tambahnya.

Menurutnya, bantuan bencana lain turut dinaikkan ialah Bantuan Segera merangkumi Wang Saku (RM100 dinaikkan kepada RM200 seorang), Pakaian Harian (RM200 dinaikkan kepadaRM300 seorang), Makanan Kering (RM50 dinaikkan kepada RM100 seorang); dan Kelengkapan Tidur (RM100 dinaikkan kepada RM200 seorang).

Bantuan Persekolahan merangkumi Pakaian Sekolah (RM200 dinaikkan kepada RM300 seorang), peralatan sekolah (RM100 dinaikkan kepada RM200 seorang).

“Bantuan perlindungan secara one-off untuk membeli bahan binaan kediaman sementara atau sewaan rumah pada kadar maksimum RM5,000 dinaikkan kepada kadar baharu RM10,000 bagi sebuah rumah,”katanya.

Katanya, Bantuan Peralatan Dapur pada kadar RM700 dinaikkan kepada kadar baharu RM1,000 bagi satu rumah serta Bekalan Makanan Peringkat Awal kecuali mangsa bencana kemarau diselaraskan pada kadar RM75 untuk satu pek bagi bilangan isi rumah satu hingga lima orang.