KOTA SAMARAHAN: Indeks kebolehpasaran graduan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak mencatatkan hampir 90 peratus.
Pro-Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, fakulti ini juga memperoleh akreditasi daripada Premier Digital Tech Institution, Finance Accreditation Agency dan The Chartered Institute of Marketing.
“Pencapaian ini mencerminkan bidang pengajian ini masih kekal relevan sebagai penyumbang dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sejagat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-100, di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak (UiTMCS), Kampus Samarahan di sini, hari ini.
Abdul Wahab berkata, secara keseluruhannya, jumlah graduan UiTM Cawangan Sarawak pada konvokesyen kali ini adalah seramai 1,235 orang.
“Sidang pertama kita akan meraikan penganugerahan ijazah sarjana muda dan diploma kepada 297 graduan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,” tambahnya.
Dari keseluruhannya 1,235 orang graduan terbabit, seramai 538 graduan akan menerima ijazah sarjana muda manakala 697 lagi akan menerima diploma.
Istiadat konvokesyen kali ini turut menyaksikan seramai 111 graduan menjadi penerima Anugerah Naib Canselor (ANC).
GAMBAR:UiTMCS