KEMBOJA: Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan kepada negara-negara minoriti Islam Asia Tenggara dan rantau Pasifik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, adalah penting untuk RISEAP dan ahlinya memahami situasi sekeliling dan membina ikatan padu antara umat Islam dan agama lain.
“Sejak penubuhan 44 tahun yang lepas, RISEAP telah menjadi sebuah organisasi Islam yang luas untuk komuniti minoriti Islam di Asia Tenggara dan rantau Pasifik dengan objektif memupuk persefahaman, kerjasama dan berkongsi amalan terbaik.
“Oleh itu, saya menggesa perwakilan menekankan pendekatan dalam penyebaran mesej Islam bukan sahaja dalam kalangan orang bukan Islam tetapi orang Islam itu sendiri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa majlis pembukaan Perhimpunan Agung RISEAP Ke-20 di Kemboja hari ini.
Majlis turut dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Setiausaha Kehormat RISEAP Dato Mohamad Marzuki Mohamad Omar.
Abang Johari merangkap Presiden RISEAP menambah, pendekatan yang kini dikenali sebagai Da’wah Bil Hal menekankan kepada beramal dan khidmat masyarakat seperti yang dianjurkan dalam Islam.
Ia untuk memberikan imej positif agama kepada bukan Islam sambil berusaha menggalakkan perpaduan yang lebih erat dan mengangkat kehidupan yang lebih baik di rantau ini.
“Hari ini RISEAP dan ahlinya akan memperingati tahun Ke-44 kewujudannya dan kita mempromosikan Da’wah Bil Hal yang menekankan tentang tindakan yang boleh dilakukan untuk membantu jiran terdekat dan sesama manusia di waktu sukar,”.
