SARIKEI: Warga pendidik perlu memahami penggunaan teknologi terkini yang dapat mengubah cara penyampaian pengajaran mereka.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, ini kerana cara penyampaian pengajaran melibatkan papan putih dengan menyalin nota dan sesi kuliah atau kelas yang panjang sudah lapuk serta mungkin kurang berkesan.
“Ini terutamanya dengan kewujudan teknologi baharu yang menjadi gaya hidup generasi kini,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pensijilan Tamat Tingkatan 5 dan Anugerah Kecemerlangan Murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei Baru Tahun 2024/2025 di dewan sekolah itu, di sini, hari ini.
Len Talif berkata, sehubungan itu memberitahu warga pendidik perlu memiliki kefahaman jelas mengenai teknologi terkini untuk memantapkan lagi sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc).
“Sistem pendidikan negara perlu mengorak langkah ke arah pengajian yang dipandu teknologi digital yang lebih bersifat interaktif dan fleksibel,” tambahnya.
