KEMBOJA: Delegasi Kerajaan Sarawak diketuai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir pada Majlis Makan Malam sempena Perhimpunan Agung Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) Ke-20 di Kemboja, malam tadi.
Majlis yang diadakan di Sokha Phnom Penh Hotel & Residence itu dihadiri delegasi dari negara-negara anggota RISEAP.
Antara delegasi Kerajaan Sarawak yang turut serta ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib, Setiausaha Kehormat RISEAP Dato Mohamad Marzuki Mohamad Omar, Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin.
Premier Sarawak yang juga Presiden RISEAP turut diberi penghormatan untuk menyampaikan Anugerah Kepimpinan Teladan.
Sementara itu, Abang Johari dijadual menyampaikan ucapan pembukaan Majlis Perhimpunan Agung RISEAP Ke-20 yang akan berlangsung di Sokha Phnom Penh Hotel & Residence, hari ini.
Majlis itu dijangka dihadiri Perdana Menteri Kemboja Samdech Moha Borvor Thipadei Hun Manet dan Dato Mohamad Marzuki.
Premier Sarawak juga dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja sebelum berangkat pulang ke Kuching pada sebelah petang.
