KUCHING: Sarawak berjaya menarik pelaburan awal diluluskan berjumlah RM10.43 bilion merangkumi 212 projek sekali gus mewujudkan 5,400 peluang pekerjaan baharu setakat suku ketika tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sektor pengilangan kekal sebagai penyumbang terbesar pelaburan terbabit berjumlah RM5.81 bilion.
Industri utama itu termasuk kimia, elektrikal dan elektronik dan produk galian bukan logam, katanya ketika merasmikan Pesta Dagangan Sarawak 2024 di Dewan Masyarakat dan Sukan Ang Cheng Ho di sini.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Ripin Lamat.
Awang Tengah berkata, dari segi pencapaian dagangan, Sarawak menunjukkan pemulihan besar dengan jumlah dagangan meningkat 4.7 peratus kepada RM147.5 bilion.
Pertumbuhan itu, katanya, mencerminkan pencapaian baik dalam sektor pertanian, perlombongan dan pengilangan.
Rakan dagang penting yang mengukuhkan dagangan global Sarawak termasuk Jepun, China, Korea Selatan, India dan Thailand, katanya.
