KUCHING: Sarawak berpotensi menjadi peneraju dalam sektor Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di rantau ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak akan memanfaatkan telaga minyak dan gas kosong yang banyak di perairannya untuk dijadikan tempat penyimpanan karbon.
Ia sekali gus akan menjadi sumber pendapatan baharu untuk Sarawak, katanya.
“Kita terlibat dalam perdagangan karbon dan memiliki undang-undang rumah hijau sendiri. Justeru, Sarawak negeri pertama mempunyai undang-undang rumah hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Pihak Berkepentingan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) Sarawak 2024 di Hotel Sheraton, malam tadi.
Katanya, inisiatif dilaksanakan Kerajaan Sarawak selaras dengan usaha antarabangsa untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Oleh itu katanya, Sarawak memerlukan juruaudit dari kalangan akauntan yang berkebolehan untuk menilai kualiti karbon yang hendak didagangkan termasuk oksigen yang dihasilkan di negeri ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia Manohar Benjamin Johnson, mantan ADUN TAsik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie dan Presiden ACCA Sarawak Peter Chiam.
