KUCHING: Kerajaan akan memperkasakan penguatkuasaan berkaitan barang kawalan di pintu sempadan di Sabah dan Sarawak bagi menangani isu ketirisan barang terbabit.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendekatan itu antara strategi yang diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Penguatkuasaan Menangani Isu Ketirisan Barang Kawalan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Dato’ Sri Fadillah Yusof.
Fadillah dan Armizan kemudian menyaksikan Majlis Menandatangani Aku Janji Kita Gempur Gerakan Membanteras Manipulasi Ketirisan Bersama Syarikat Minyak yang merupakan rakan strategik KPDN.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Armizan berkata, penguatkuasaan itu merangkumi melalui arahan penurunan kuasa penguatkuasaan KPDN kepada agensi-agensi yang beroperasi di pintu-pintu masuk dan perairan.
”Pendekatan ini penting bagi memastikan isu-isu ketirisan barang kawalan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dapat ditangani dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.
Menurutnya lagi, antara pendekatan lain termasuk memperkasa penyelarasan tugas-tugas penguatkuasaan berkaitan barang kawalan di pintu-pintu sempadan di Sabah dan Sarawak melalui Sekretariat OPS Tiris sedia ada di bawah kelolaan KPDN.
Selain itu, mengukuhkan kerjasama bersepadu melalui sokongan aset, logistik dan sumber manusia dalam kalangan agensi berkaitan dalam pelaksanaan operasi penguatkuasaan KPDN.
Selain itu, meningkatkan pemantauan ke atas aktiviti bunkering melalui perkongsian data senarai pemegang lesen dan penyediaan pelabelan khas pada vesel atau kapal yang terlibat.
”Mesyuarat turut memutuskan untuk menambah baik mekanisme dan sistem pengurusan skim subsidi diesel dan petrol nelayan dan mengenal pasti zon khas penjualan barang-barang kawalan di kawasan sempadan dan pulau-pulau berdekatan sempadan yang hanya dibenarkan menjual barang-barang kawalan tanpa subsidi.
”Menguatkuasakan secara tegas tindakan gantung dan batal lesen bagi Barang Kawalan Berjadual (CSA) serta mengambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke atas mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi,” katanya.
Selain itu, pendekatan lain termasuk melaksanakan pemantauan berkala melalui mekanisme rekod log pemantauan di kesemua 466 stesen minyak di negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 15 Disember 2024 secara berperingkat, jelasnya.
Tambahnya, dua pendekatan lain termasuk menyarankan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan yang bersesuaian ke atas jeti-jeti dan pangkalan haram yang menjadi antara lokasi penyumbang kepada ketirisan barang kawalan.
Di samping itu, menambah baik keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan permit barang kawalan dengan pengenalan dan pelaksanaan permit bercirikan Kod QR, katanya.
