Fadillah setuju jawatan tertinggi Parti PBB tidak dipertanding

PUSA: Naib Yang di-Pertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato’ Sri Fadillah Yusof bersetuju agar jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada Perhimpunan Agung Ke-16 parti pada Februari tahun depan.

“Secara peribadi saya bersetuju jawatan Yang di-Pertua dan Timbalan Parti PBB tidak dipertandingkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas usul itu daripada Beting Maro manakala bagi jawatan lain, beliau menyerahkannya kepada pimpinan parti sama ada dipertandingkan atau tidak.

“Itu atas budi bicara Yang di-Pertua dan Majlis Tertinggi (MT) Parti dan bagi saya, apa yang penting adalah setiap orang memberi khidmat terbaik kepada parti, rakyat dan juga negeri serta negara,” tambahnya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Perwakilan Parti PBB Cawangan N29 Beting Maro Sesi 2024 – 2027 di Dewan Komuniti Kampung Pusa di sini.

Sementara itu, berhubung perkembangan pertandingan jawatan di peringkat Cawangan Parti PBB, beliau mendapat laporan ia berjalan lancar dan hampir semua cawangan selesai mengadakan mesyuarat masing-masing.

“Apa yang kita nak laksanakan adalah di peringkat zon, kita susun aturkan untuk Yang di-Pertua merasmikan mesyuarat di peringkat zon,” tambahnya.

Beliau berkata, bagi zon selatan di Kuching, mereka akan bermesyuarat esok untuk menentukan tarikh dan masa, manakala zon-zon lain sudahpun mengadakan mesyuarat terbabit.

Selain itu mengenai sayap belia parti, Fadillah berkata mereka menjadi pemerhati dan bagi mesyuarat agung akan datang setiap cawangan sudah menubuhkan sayap belia.

“Dengan adanya sayap belia ini, saya kira lebih ramai belia akan bersama Parti PBB,” tambahnya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor dan ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor serta ahli- ahli cawangan.