Akademik, integriti mantap asas pembentukan pelajar cemerlang

SIBU: Kejayaan graduan hari ini tidak hanya diukur melalui kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi pembentukan integriti dan prinsip moral yang kukuh.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kedua-dua elemen ini asas utama menjadi tunjang kepada kejayaan berterusan.

Menurutnya, dalam era globalisasi ini, graduan perlu menjadi contoh teladan kepada masyarakat dengan mempamerkan nilai-nilai positif dalam setiap tindakan mereka.

“Graduan yang dilengkapi kemahiran dan kepakaran memberikan sumbangan besar kepada pembangunan terutama dalam merealisasikan visi untuk menjadi sebuah wilayah maju menjelang 2030,” katanya.

Beliau yang juga Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS) berucap demikian ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen UTS Kesembilan dalam sesi pertama yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud UTS hari ini.

Seramai 351 graduan dari 22 program akademik menerima skrol pengajian masing-masing, yang mana dua graduan telah dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 33 graduan menerima Ijazah Sarjana dan 316 lagi dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda.

Selain itu, Anugerah Canselor Berprestij turut diberikan kepada graduan yang paling cemerlang, termasuk Anugerah Akademik Terbaik, Anugerah Industri dan Kepimpinan serta Anugerah Buku kepada graduan-graduan yang terpilih.

Hadir sama, isteri Yang di-Pertua Negeri ,Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UTS Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Unit Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya, Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr. Kharudin Ab Hamid, Timbalan Naib Canselor (Akademik) UTS Prof. Ir. Ts. Dr Mohammad Shahril Osman serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah UTS.