KUCHING: Tanaman kopi berpotensi menjadi komoditi ekonomi utama di kawasan Mambong.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sejak diperkenal di Mambong beberapa tahun lalu, aktiviti penanaman kopi terbukti menjanjikan pendapatan luamayan.
Dalam hal ini, beliau merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil atas usaha beliau mempromosikan penanaman kopi di kawasan itu.
“Saya difahamkan ada rancangan untuk mengusahakan tanaman itu secara besar-besaran dan rancangan menubuhkan kemudahan pemprosesan moden.
“Bagaimanapun, saya percaya jika setiap kira-kira 5,000 isi rumah di sini menanam sehektar setiap satu, maka Mambong boleh menjadi ‘coffeebelt’ Kopi Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Mambong di sini hari ini.
Dalam pada itu, Uggah berkata fokus utama perjuangan parti kini adalah untuk meneruskan usaha meningkatkan pendapatan rakyat negeri ini.
Katanya, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini menumpukan usaha terhadap pertanian moden yang menjanjikan pendapatan lebih baik kepada petani.
Tegas beliau, Sarawak amat bertuah kerana dipimpin Premier Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang sangat berwawasan.
Justeru, penting kepada semua rakyat Sarawak berhimpun kuat di belakang Abang Jo ketika beliau berjuang untuk mengekalkan hak negeri yang terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Mereka hanya cemburu dengan pencapaian beliau dan untuk Sarawak yang mendapat pujian dan pengiktirafan daripada banyak negara.
“Mereka juga tidak gembira kerana Abang Jo sangat bertekad dalam melindungi hak kami juga,” tegas Uggah.
Menyentuh mengenai politik, Uggah yang juga Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB gembira mengenai resolusi PBB Cawangan Mambong yang mahu jawatan tertinggi dan dua timbalannya dikekalkan.
Sementara itu, Jerip dalam ucapannya menggesa agar Mambong diiktiraf sebagai daerah penuh.
Beliau juga menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk melantik seorang Bidayuh dalam suruhanjaya perkhidmatan awam (SPA) negeri.
