KUCHING: Sebanyak 11 syarikat minyak yang merupakan rakan strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menandatangani ’Aku Janji’ KITA GEMPUR, hari ini.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, 11 syarikat itu meliputi Petronas, Shell, Petron, Caltex, BHPetrol, Xcel, FIVE, PETROS, Buraq Oil, SMART dan Petro Teguh.
”Aku Janji ini ini mencerminkan usaha mereka (11 syarikat) dalam membantu usaha kerajaan memerangi ketirisan dan manipulasi barang kawalan terutamanya diesel dan petrol,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Penguatkuasaan Menangani Isu Ketirisan Barang Kawalan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang dipengerusi Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, hari ini.
Sementara itu, Fadillah berkata mesyuarat itu merupakan platform dalam pendekatan ’Whole Of Government Approach’ yang menggabungkan pendekatan oleh agensi penguatkuasaan bagi menangani isu tersebut.
”Tahniah kepada KPDN kerana berjaya menganjurkan mesyuarat ini yang sangat penting bagi melindungi kepentingan negara.
”Semoga kita dapat berganding bahu memastikan keberkesanan usaha mengekang ketirisan dan penyeludupan, demi memajukan ekonomi negara supaya akhirnya nanti kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan,” ujarnya.
