KUCHING: Program Youth Start Up (SYStartup), inisiatif Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) menjadi platform dalam melahirkan usahawan generasi baharu yang lebih berinovatif, kreatif serta berdaya saing.
Menteri MYSED, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, SYStartup 2024 yang bermula sejak 7 Disember lalu merupakan program komprehensif dilaksanakan oleh kementeriannya untuk memperkasakan usahawan baharu belia.
“Ini merupakan program pertama daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan bagi melahirkan usahawan berjaya. Ia akan diteruskan pada 2025,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Penutupan Program Sarawak Youth Start Up (SYStartup) 2024 di Dewan Serbaguna, Perkampungan Sukan Sarawak (SSV), semalam.
Seramai 276 peserta terlibat didedahkan dengan modul program yang dirangka khusus dari peringkat awal merangkumi penyediaan ‘Business Model Canvas’ dan banyak lagi.
Selain itu peserta turut diberikan penerangan tentang skim pembiayaan daripada Kerajaan Sarawak mahupun Kerajaan Persekutuan.
Hadir sama Timbalan Menteri MYSED, Datuk Dr Ripin Lamat; Setiausaha Tetap MYSED, Morshidi Fredrick; Timbalan Setiausaha Tetap MYSED, Dolhadi Marzuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
