MASwings sah milik Sarawak, perjanjian tukar milik dimeterai tidak lama lagi

KUCHING: Syarikat penerbangan MASwings sah menjadi milik Sarawak selepas perbincangan mengenai harga aset melibatkan Kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Perkara itu diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sambil menambah, majlis rasmi untuk menandatangani persetujuan ini akan dilakukan dalam masa kurang daripada sebulan, dijangka diadakan di Kuching.

“Apa yang dapat saya bagi tahu hari ini adalah urusan MASwings sudah ‘beres’.

“Maksudnya kita sudah mengambil alih MASwings dan tidak lama lagi ada majlis rasmi untuk menandatangani persetujuan ini. Saya jangka dalam masa satu bulan, sebelum puasa,” katanya.

Beliau mengumumkan berita gembira itu selepas menyempurnakan Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abang Johari masih berteka-teki mengenai nama baharu syarikat penerbangan itu, dengan menjanjikan beliau akan mengumumkannya kemudian selepas selesai majlis pemeteraian itu nanti.

Sebelum ini, Kerajaan Sarawak berhasrat untuk memuktamadkan pengambilalihan syarikat penerbangan berkenaan pada Disember, namun ditangguhkan disebabkan perbezaan dalam penilaian asetnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Sabah telah menandatangani perjanjian untuk membeli tenaga elektrik daripada janaan tenaga Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) dari Sarawak.

Katanya, Sabah dan Sarawak telah menandatangani perjanjian untuk membekalkan 50 megawatt termasuk permintaan Sabah untuk dinaikkan sehingga 100 megawatt.

“Apa yang berlaku, tahun 2027 akan siap CCGT tersebut yang akan menggunakan 30 peratus hidrogen dan boleh ditingkatkan sehingga 50 peratus.

“Dengan adanya bekalan 500 megawatt, kita membekalkan tenaga kepada jiran serta di utara Sarawak kerana pada tahun tersebut kita akan menambah tenaga 500 megawatt daripada Miri dengan Bintulu. Dan mempunyai tiga CCGT membolehkan kita menjana 2,000 megawatt tenaga,” ujarnya.

Tambahnya, rundingan dengan Brunei Darussalam mengenai perkara sama masih lagi dibincang.