Delegasi Sarawak terokai teknologi pengeluaran SAF di Singapura

SINGAPURA: Majlis pelancaran pelantar ujian pengeluaran karbon dioksida dan hidrogen kepada bahan api penerbangan mampan berlangsung di Jurong, Singapura hari ini.

Delegasi Sarawak yang diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel menghadiri majlis tersebut.

Lawatan delegasi itu bertujuan untuk menilai kebolehlaksanaan teknologi pengeluaran karbon dioksida dan hidrogen kepada bahan api penerbangan mampan (SAF) di Sarawak.

Menurut Dr Muhammmad Abdullah, langkah itu turut memanfaatkan sumber di negeri ini susulan permintaan global yang semakin meningkat untuk bahan api mampan.

Penglibatan ini juga termasuk perbincangan dengan IHI Asia Pacific Pte. Ltd. untuk meneroka peluang kerjasama dan pelaburan.

“Potensi SAF sejajar dengan visi Sarawak untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan sambil menyumbang kepada matlamat penyahkarbonan global.

“Penggunaan teknologi SAF akan meningkatkan lagi komitmen Sarawak terhadap kemampanan dan meningkatkan kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor tenaga hijau, mencerminkan dedikasinya untuk mencapai masa depan rendah karbon,” katanya.

Majlis dilaksanakan dengan kerjasama Institut Kelestarian Bahan Kimia, Tenaga dan Alam Sekitar, ISCE2 dan IHI Corporation itu mempamerkan teknologi SAF termaju yang berpotensi memainkan peranan transformatif dalam peralihan tenaga global.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty) Datu Abg Ahmad Abg Morni, Ketua Bahagian Tenaga MEESty Ts. Dr Nurleyna Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) Chew Chang Guan dan Ketua Bahagian Pembangunan Korporat dan Ekonomi MEESty Dr. Kho Lip Khoon.