ASSAR agih dividen interim tiga sen seunit

KUCHING: Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSAR) hari ini mengumumkan dividen interim 3.0 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2025.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengumumkan dividen interim itu berkata, pembayaran dividen itu membabitkan sejumlah RM14.23 juta.

“Dividen interim itu akan dibayar kepada pelabur berdasarkan unit yang dipegang setakat 31 Disember 2024,” katanya pada majlis mengumumkan pembayaran dividen interim ASSAR bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 di sini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Yang Arif, Peguam Besar Negeri Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Pengerusi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR, Dato Sri Wahab Dolah, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Permodalan ASSAR Sdn Bhd , Amanah Saham Sarawak Berhad serta anak syarikat yang lain.

Abang Johari menjelaskan, sejak penstrukturan semula Tabung ASSAR pada penghujung tahun 2022, ASSAR terus mempamerkan peningkatan prestasi secara konsisten.

Nilai Aset Bersih (NAB) seunit ASSAR terus mencatatkan peningkatan secara konsisten sehingga mencecah hampir RM1.14 seunit pada 31 Disember 2024, iaitu pertumbuhan sebanyak 4.9 peratus berbanding RM1.09 pada separuh pertama tahun kewangan sebelumnya, katanya.

Bagi mengimbangi kenaikan NAB dan harga jualan ASSAR, beliau berkata, Syarikat Pengurusan ASSAR dengan persetujuan Pemegang Amanah iaitu AmanahRaya Trustees Berhad telah bersetuju untuk membuat agihan dividen interim bagi Tahun Kewangan semasa.

Menurut Abang Johari, peruntukan optimum dana antara portfolio ekuiti dan bon telah membolehkan Tabung ASSAR mengekalkan pulangan stabil untuk pelabur.

Jumlah pendapatan kasar yang direalisasikan bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 ialah RM22.62 juta, meningkat sebanyak 45 peratus berbanding RM15.59 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya, katanya.

Peningkatan pendapatan itu, tambanya, hasil daripada strategi proaktif Pengurus Dana yang telah memanfaatkan setiap rali di pasaran saham untuk merealisasikan keuntungan modal sebelum berlakunya persekitaran tidak menentu.

Tabung ASSAR, memberi aliran pendapatan yang stabil dan mengurangkan impak daripada ketidaktentuan pasaran jangka pendek, tegas beliau.

Pecahan pendapatan kasar itu, katanya, terdiri daripada 48 peratus (RM10.95 juta) daripada keuntungan jualan ekuiti, 37 peratus (RM8.29 juta) daripada faedah pendapatan tetap sekuriti dan 15 peratus (RM3.38 juta) daripada pendapatan dividen.

Setelah ditolak perbelanjaan sebanyak RM2.93 juta,
pendapatan bersih semasa Tabung ASSAR ialah RM19.69 juta.

Polisi ASSAR, katanya, hanya membolehkan pengagihan dividen daripada pendapatan yang direalisasikan termasuk lebihan pendapatan daripada tahun kewangan terdahulu.