MIS kumpul RM200,000 dana bantu mangsa banjir

KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) berjaya mengumpul dana berjumlah RM200,000 hasil sumbangan umat Islam di negeri ini termasuk pihak majlis sendiri.

Dana itu untuk membantu mangsa banjir di beberapa kawasan dalam negara pada penghujung tahun 2024.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kejayaan mengumpulkan sumbangan ini mencerminkan keprihatinan tinggi umat Islam di Sarawak terhadap mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana alam.

“Kutipan Sadaq Jumaat yang dilaksanakan pada November dan Disember 2024 di semua masjid dan surau di Sarawak berjaya mengumpul RM178,265.95.

“Bagi melengkapkan jumlah sumbangan, Majlis Islam Sarawak turut menyumbang RM21,734.05, menjadikan keseluruhannya RM200,000,” katanya ketika selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Umat Islam Sarawak di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MIS Datuk Misnu Taha, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Ustaz Abang Borhanuddin Abang Masunie dan Timbalan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Bolhassan Iskandar Taibi.

Simbolik penyerahan dana disempurnakan kepada Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak, Ustaz Hamdan Jar’ee bagi pihak JAKIM.

Difahamkan, sunbangan akan disalurkan ke Akaun Tabung Musa’adah JAKIM-YWM sebelum diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir yang memerlukan termasuk di Sarawak.

Dalam pada itu, MIS turut mengadakan Solat Hajat Bencana Banjir pada 31 Januari 2025 selepas solat Jumaat bagi mendoakan kesejahteraan mangsa-mangsa banjir di Sarawak.