KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli menyokong usul membahas bencana banjir dan tanah runtuh di Sarawak dan Sabah pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Usul membahas bencana banjir dan tanah runtuh itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Miri di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1).
Beliau berkata, usul itu amat penting untuk diperbahaskan kerana insiden banjir besar dan tanah runtuh yang melanda hampir keseluruhan Sarawak baru-baru ini merupakan fenomena yang luar biasa dan jarang sekali berlaku.
Rata-rata penduduk di Sarawak berasa terkejut kerana banyak kawasan yang sebelum ini tidak pernah ditimpa banjir, secara tiba-tiba dinaiki air dengan begitu dahsyat sekali seperti yang berlaku di Bintulu, katanya.
Beliau berkata, pada masa sama kejadian tanah runtuh turut berlaku di Miri yang telah meragut lima nyawa.
“Dalam hal ini, saya bersetuju dengan saranan Ahli Parlimen Miri bahawa perlu ada kerjasama dan halatuju yang jelas oleh pihak Kementerian dalam menyalurkan bantuan dan merangka langkah penyelesaian jangka pendek dan panjang bagi menangani kesan banjir dan tanah runtuh terutamanya sewaktu musim tengkujuh,” tegas beliau.
