Rumah Telajan, Ulu Budu terjejas tanah runtuh, semua selamat

KRIAN: Tiada kemalangan jiwa akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku di Rumah Telajan, Ulu Budu di sini, hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, mereka menerima panggilan kejadian itu sekitar jam 9.10 pagi dan setibanya di lokasi mendapati tanah runtuh melibatkan bahagian dapur dan berlaku retakan di bahagian ruang tamu rumah panjang 11 bilik itu.

“Kejadian tersebut tiada melibatkan sebarang kemalangan jiwa,”katanya.

Beliau berkata, kejadian disebabkan struktur tanah lembab dan hujan lebat berterusan sejak petang semalam hingga hari ini.

Sehubungan itu, anggota APM Saratok telah memasang pita keselamatan supaya penduduk rumah panjang itu berhati-hati kerana masih ada pergerakan tanah di bahagian ruang tamu dan tidak selamat.