Program perumahan ambil kira kumpulan sasar

KUALA LUMPUR: Program perumahan yang dibangunkan kebiasaannya mengambil kira kumpulan sasar serta keperluan perumahan di negeri tersebut.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, kerajaan turut menggalakkan pemaju swasta untuk membangunkan rumah mampu milik (RMM) melalui pemberian insentif kepada pemaju yang terlibat.

“Sebanyak 14,921 unit RMM dilulus pelaksanaannya di Sarawak dengan status sebanyak 4,566 unit siap dibina, 7,703 unit dalam pembinaan dan baki 2,652 unit di peringkat perancangan,” katanya menjawab pertanyaan lisan Dr. Richard Rapu Begri (GPS-Betong) pada sidang Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, KPKT melaksanakan empat program perumahan RMM di negeri Sarawak.

“Pertama, program Perumahan Rakyat (PPR) atau Program Residensi Rakyat (PRR) untuk B40, kedua program Rumah Mesra Rakyat (RMR) untuk B40, ketiga kediaman SPNB untuk M40 dan empat program Perumahan PR1MA untuk M40,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 12 projek PPR dan PRR yang telah diluluskan oleh Kerajaan melibatkan sebanyak 5,452 unit rumah di Sarawak.

Di bawah RMR untuk B40, beliau berkata, ia dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan mampu memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang mempunyai tanah sendiri atau tanah milik ahli keluarga yang diberi kebenaran.

Sehingga kini, katanya, program Kediaman SPNB untuk M40, secara keseluruhannya dua projek dengan 2,746 unit rumah telah diluluskan pelaksanaannya di negeri Sarawak dan kedua-dua projek telah siap dibina.

Manakala, di bawah Program Perumahan PR1MA untuk M40, Nga menegaskan, ia merupakan program RMM untuk golongan berpendapatan dalam kategori berpendapatan sederhana (M40) yang dilaksanakan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).

Secara keseluruhannya di negeri Sarawak, beliau berkata, PR1MA mempunyai lima projek dengan 2,747 unit rumah yang telah diluluskan pelaksanaannya.

KPKT juga sentiasa melihat peluang kerjasama bagi
pembangunan projek baharu melalui kerjasama dengan kerajaan negeri, Perbadanan Perumahan Sarawak atau mana-mana pemaju swasta dalam penyediaan perumahan mampu milik, tambah beliau.

Selain KPKT, terdapat juga agensi-agensi penyedia perumahan di peringkat Kerajaan yang turut menyediakan perumahan mampu milik termasuk di kawasan luar bandar, tegas beliau.

Menurut beliau, antaranya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan agensi di bawahnya seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Beliau memberitahu dewan, melalui pelaksanaan Skim Jaminan Pelaksanaan Perumahan (SJKP) di bawah inisiatif i-Biaya, sebanyak 1,881 pinjaman perumahan dengan nilai jaminan pembiayaan sebanyak RM456.52 juta telah diluluskan bagi pemohon di negeri Sarawak sehingga 30 September 2024.

“Usaha-usaha ini menggambarkan komitmen Kerajaan MADANI agar rakyat mempunyai akses terhadap perumahan yang berkualiti dan mampu dimiliki serta tiada yang terpinggir, khususnya golongan berpendapatan rendah dalam pembangunan negara, katanya.

Dr. Richard Rapu dalam pertanyaan lisannya memohon KPKT menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk menangani isu perumahan mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah di Sarawak, termasuk inisiatif Program Perumahan Rakyat dan MyHome yang disesuaikan dengan keadaan di Sarawak.