SEBAUH: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) membiayai sewaan dua bot bagi misi penghantaran bantuan makanan kepada penduduk rumah panjang, di sini, semalam.
Ini kerana penduduk terbabit di kawasan Kelabat dan Sungai Genaan terputus akses darat akibat banjir berterusan selama seminggu.
Misi penghantaran kepada 165 Ketua Isi Rumah (KIR) oleh Pejabat Daerah Sebauh itu diketuai oleh Pegawai Daerah Sebauh, Thadeus Ling Bartholomew Allu dan turut melibatkan bot Polis Marin.
Mereka berjaya menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk di Rumah Justin Juan, Kelabat serta enam rumah panjang di Sungai Genaan iaitu Rumah Ikum Lang, Rumah Kelly Badang, Rumah Jamban Ingeh, Rumah Lai Tajak, Rumah Lipu Rundang dan Rumah Bryant Pawong.
“Bekalan makanan berupa makanan kering dan keperluan asas disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Bintulu,” menurut Thadeus.
Turut menyertai misi penghantaran bantuan ini ialah wakil PETROS, Tabita Tanjong, serta Ketua Balai Polis Samalaju yang mewakili Ketua Polis Daerah Bintulu, ASP Thomas Sulok Ulik.