JKM Mukah teruskan agihan bantuan kepada mangsa banjir

MUKAH: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Mukah meneruskan operasi pengagihan bantuan kepada mangsa banjir di Mukah.

Semalam, sebanyak 449 bakul makanan berjaya diagihkan kepada penduduk yang terkesan akibat banjir di enam kampung di sini.

Kampung yang terlibat termasuk Kampung Sesok Baru, Sesok Lama, Penakub Ulu, Penakub Bazaar, Jebungan dan Kuala Jebungan.

Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato’ Hanifah Hajar Taib turut serta meninjau kawasan yang terjejas sekali gus menyampaikan bakul makanan kepada penduduk.

Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip yang mengetuai operasi pengagihan memberitahu, pengagihan bakul makanan kali ini melibatkan kawasan yang teruk dilanda banjir.

Menurutnya, Kampung Jebungan menerima 87 bakul, diikuti Kuala Jebungan dengan 68 bakul, Penakub Ulu (90), Penakub Bazaar (63), Sesok Lama (50), manakala Sesok Baru dengan 129 bakul.

Dalam pada itu, operasi pengagihan bantuan ini dilakukan menggunakan bot pancing dan lori APM berikutan jalan raya yang terputus akibat banjir.

Proses ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pejabat Daerah Mukah, Pusat Khidmat P213 Mukah, Pusat Khidmat N58 Balingian, Sukarelawan Belia serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Turut serta dalam tinjauan Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah Dariel Thiong Yiew Seng, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Mukah Kapt (PA) Zuriza Sharkawi, Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias, wakil Pejabat Daerah Mukah Nolin Gendang serta ketua kampung.