Kadar yuran perunding golongan jurutera sejak 1998 harus dikaji

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang agar mengkaji semula kadar yuran perunding golongan jurutera profesional di negara ini yang diluluskan 27 tahun lalu.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab berkata, ini kerana antara isu menjadi keluhan pihak jurutera perunding adalah mengenai kadar bayaran yuran profesional agak rendah yang diterima oleh syarikat-syarikat perunding, terutama sekali untuk projek-projek kerajaan.

Katanya, kali terakhir yuran perunding diluluskan oleh Menteri adalah pada 1998 iaitu 27 tahun lalu dan sejak itu, gaji jurutera dan juruteknik dan kos operasi syarikat perunding telah meningkat mungkin berkali ganda.

“Maka, saya cadangkan supaya kerajaan mengkaji semula kadar yuran perunding tahun 1998 ini. Sudah sampai masanya kadar yuran perunding dikaji semula supaya golongan jurutera dapat berdaya maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong di sidang Parlimen, di sini.

Selain itu, Yusuf berkata, kerajaan perlu juga memastikan kementerian atau agensi kerajaan menggunakan garis panduan sedia ada untuk menggajikan syarikat perunding dan menghalang pengurangan kadar yuran yang lebih rendah.

Beliau juga mencadangkan untuk projek-projek kerajaan, agar satu sistem penggiliran yang sistematik dan adil dilakukan supaya lebih banyak syarikat perunding akan berpeluang untuk mendapat projek dari kerajaan.

“Ini dapat menggalakan penglibatan lebih ramai jurutera atau lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kita perlukan untuk pembangunan negara,” tambahnya.