KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) menetapkan kadar zakat fitrah bagi Sarawak bagi tahun 1446H ialah sebanyak RM7.50 seorang.
Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi (Utiliti) Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi sehubungan itu mengingatkan umat Islam di Sarawak untuk menunaikan kewajipan zakat fitrah dengan penuh keinsafan dan tanggungjawab.
“Ia bukan sahaja menyucikan jiwa dan harta kita, tetapi juga membantu golongan yang memerlukan agar dapat merayakan Aidilfitri dengan lebih bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sumbangan MIS Kepada Masjid, Surau dan Perkuburan Islam di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini, hari ini.
Selain itu, Dr Abdul Rahman juga mengumumkan sebanyak RM4,536,000 diperuntukkan tahun ini untuk dana Baitulmal bagi mengurus dan menyenggara tempat-tempat ibadat serta tanah perkuburan Islam.
“Untuk tahun ini, sebanyak RM4,536,000 diperuntukkan untuk 1,652 masjid, surau dan tanah perkuburan Islam yang berdaftar di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, ini berdasarkan Seksyen 46, Ordinan Majlis Islam Sarawak (MIS) dan peruntukan ini menunjukkan peningkatan yang sangat signifikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
