Asfia angkat sumpah, dilantik semula Speaker DUN Sarawak

KUALA LUMPUR: Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dilantik semula sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kesembilan bagi tempoh dua tahun sehingga 15 November 2025.

Lantikan itu berkuatkuasa hari ini selepas lantikan kali kelapan berakhir pada 15 November 2023.

Istiadat mengangkat sumpah Speaker DUN Sarawak kesembilan dilaksanakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di kediamannya, hari ini.

Pada istiadat itu, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia menandatangani surat sumpah sebagai Speaker DUN Sarawak untuk tempoh dua tahun.

Turut hadir semasa majlis istiadat angkat sumpah itu ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Dato Idris Buang, Peguam Besar Negeri Sarawak, Datu Saferi Ali, Setiausaha Sulit Kanan Kepada Premier Sarawak, Dato Khir Busrah dan Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Sarawak.

Untuk rekod, Asfia dilantik sebagai Speaker DUN Sarawak untuk pertama kali pada 15 November tahun 2000.

Beliau merupakan lulusan Undang-Undang dari Lee University, England dan memperoleh Barrister-at-Law dari Inner Temple, London.

Asfia yang juga bekas ADUN Kuala Rajang (1979 hingga 1983) dan Semop (1991 hingga 2011) pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Speaker DUN Sarawak pada tahun 1995 hingga 2000.