363 lampu solar dipasang di rumah panjang, kampung

SARATOK: Sebanyak 363 lampu solar akan dipasang di kampung dan rumah panjang sekitar Daerah Saratok, Kabong dan Roban di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek pemasangan lampu itu membabitkan peruntukan sebanyak RM2.2 juta.

“Projek ini telah diluluskan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun ini berjumlah RM410,000 manakala RM1.8 juta di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA),” katanya.

Mohamad Duri berkata, pelaksanaan projek ini akan meningkatkan tahap keselamatan di kawasan kampung dan rumah panjang tersebut khususnya pada waktu malam.

Menurutnya, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas telah melawat rumah panjang bagi mengenal pasti kawasan didirikan tiang lampu terbabit sekitar Roban hari ini.

Antaranya Rumah Sanggat, Sungai Ruan, Rumah Lim Metong, Rumah Bia Batu Burak dan Rumah Rimbu Tinting Balai Nyumpit Rumah Gandik Lui Sungai Engkabang, Rumah Cessus Clay Sungai Engkabang Tengah, Rumah Andrew Laja Sungai Menua, Rumah Nicholas Tinting 2000, Rumah Augustine Empayak, Rumah Ali Randi Sungai Baru, Rumah Sait, Rumah Anta Jelupang Baruh, Rumah Luna Sungai Nyiar, Rumahh Embol Sungai Anak dan Rumah Luna Nyiar.