KUCHING: Penerima Bantuan Skim Keperluan Asas Sarawak (SKAS) diingatkan agar mengurus bantuan itu dengan baik.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ini kerana mereka diberi tempoh setahun bagi menghabiskan bantuan itu.
“Ada yang habiskan terus, beli penuh satu troli. Bantuan itu boleh digunakan untuk setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi pada Majlis Rumah Terbuka di kediamannya di Jalan Bakti, di sini, hari ini.
Fatimah berkata, bantuan itu dijangka diterus pada tahun depan selari hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu memastikan tiada rakyat negeri ini terputus bekalan makanan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan juga memperbaiki kelemahan inisiatif-inisiatif baharu seperti SKAS termasuk aspek pendaftaran dan pengagihan.
Beliau mendedahkan masih terdapat mereka yang belum menerima bantuan SKAS dan kes dikenal pasti termasuk pesakit terlantar yang tidak dapat tampil memohon bantuan itu.
“Kalau ada nama mereka, bolehlah maklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya kita dapat bantu mereka,” katanya.
