Sarawak semakin popular destinasi pelancongan

KUCHING: Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027 bersedia untuk menjadi hos acara tinju, demikian menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, Sarawak kini muncul sebagai kuasa besar dalam sukan tinju menerusi pencapaian cemerlang di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI pada 2024.

Ujarnya, antara lokasi yang berpotensi menjadi venue sukan tinju termasuk Stadium Perpaduan, Petra Jaya dan Stadium Tertutup di Sri Aman, bergantung kepada keputusan badan induk tinju kebangsaan.

“Kalau boleh, kita mahu tinju diadakan di Sarawak kerana minat rakyat serta prestasi atlet kita sangat memberangsangkan.

“Sokongan penyokong juga memberi kelebihan psikologi kepada atlet tempatan,” katanya ketika ditemui media semasa Majlis Ramah Tamah Aidil Fitri 2025 anjuran bersama Kementerian
Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan Kementerian Belia, Sukan & Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) di Kuching hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof serta isteri, Datin Sri Ruziah Mohd Tahir.

Sebagai agenda memperkukuh Sarawak sebagai hab sukan serantau, Abdul Karim mendedahkan perancangan kerajaan negeri untuk membina velodrom.

Jelasnya, perancangan awal kerajaan untuk membina fasiliti tersebut yang berkapasiti 3,000 sehingga 4,000 penonton di Kuching, sekali gus bakal menjadi velodrom pertama di Kepulauan Borneo.

Untuk rekod, Sarawak akan menjadi tuan rumah 18 daripada 36 acara yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2027 selepas perbincangan diadakan sebelum ini.

Menyentuh mengenai pelancongan, Abdul Karim berkata Sarawak mencatatkan lonjakan ketara dalam sektor tersebut dengan kutipan melebihi RM1 bilion sebulan pada awal tahun ini, menjadikannya permulaan paling kukuh menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Katanya, seramai 810,345 pelawat direkodkan dalam tempoh Januari hingga Februari 2025, dengan Februari sahaja mencatatkan 409,814 ketibaan dan kutipan pelancongan melebihi RM1 bilion.

“Kita tak pernah capai angka ini sebelum ini. Ini petunjuk jelas Sarawak semakin popular sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri MTCP Datuk Snowdan Lawan dan Timbalan Menteri MYSED Datuk Dr Ripin Limit.