SMeC kembali pada Jun depan, fokus peranan AI

KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal menganjurkan Persidangan Media Sarawak (SMeC) sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang dijadual berlangsung pada Jun depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, HAWANA peringkat Sarawak juga akan dimeriahkan dengan penganjuran acara-acara sukan yang julung kali diadakan untuk pengamal media melibatkan tiga zon iaitu Kuching, Sibu dan Miri.

Menurutnya, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bersama rakan-rakan strategik media tempatan akan menerajui jawatankuasa kerja induk bagi SMeC serta HAWANA peringkat Sarawak tahun ini.

Katanya, tema utama persidangan media kali ini bakal memberi tumpuan kepada perkembangan media terutama mengenai pengaruh kecerdasan buatan (AI).

“Penganjuran SMeC ini akan berlangsung satu setengah hari dan kita akan menjemput para penceramah dari luar, sudah tentu tajuk utamanya mengenai media terutamanya pengaruh AI dalam pelbagai aspek.

“Pada masa sama ada juga yang mencadangkan kepada saya diadakan perbincangan mengenai peranan radio, kita tidak mahu radio sebagai platform media yang umpama ‘sunset kind of platform’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program UKAS Berambeh Raya yang diadakan di English Tea House di sini hari ini.

Sementara itu, Abdullah turut menekankan bahawa SMeC bukan sahaja memberi fokus kepada wartawan, malah akan turut membincangkan peranan golongan di sebalik tabir seperti editor, penerbit dan tenaga kreatif yang menyumbang dalam dunia kewartawanan.

“Meskipun Sarawak bukan tuan rumah HAWANA 2025 namun kita akan teruskan beberapa elemen penting seperti penyampaian Anugerah Khas daripada Premier Sarawak kepada beberapa wartawan serta penghargaan kepada wartawan veteran,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa UKAS berhasrat menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus komunikasi massa.