SACOFA perintis infrastruktur telekomunikasi

KUCHING: SACOFA yang merintis pembangunan infrastruktur telekomunikasi di negeri ini sejak lebih 25 tahun lalu akan merealisasikan impian Sarawak sebagai hab wilayah pergerakan data dan pertukaran digital.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, dengan kesalinghubungan ke Johor, Singapura, Batam dan koridor rentas sempadan dengan Brunei dan Kalimantan pada masa hadapan, Sarawak berpotensi menjadi koridor digital untuk Borneo dan Asia Tenggara.

Pejabat korporat SACOFA bukan setakat membuka fasilit baharu tetapi juga memperluaskan laluan kepada masa depan digital Sarawak, katanya pada majlis pembukaan Pejabat Korporat SACOFA di sini.

Menurut Julaihi, Sarawak antara yang terawal menyusun halatuju infrastruktur kabel dasar laut hasil daripada pelaburan awal dan kepimpinan teknikal SACOFA.

Kabel dasar laut, tambahnya, sangat penting bagi menjamin kesalinghubungan antarabangsa, ketahanan dan kedaulatan data.

SACOFA, sudah berada di landasan itu dan akan terus memain peranan utama dalam usaha Sarawak memperluaskan capaian melalui hubungan telekomunikasi pada masa depan, tegas beliau.

Kesalinghubungan sangat penting bagi menyokong industri digital bernilai tinggi dan Sarawak harus terus melabur membangunkannya sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang, katanya.

Dalam membangunkan infrastruktur digital, Julaihi berkata, Sarawak juga perlu membangunkan model perkongsian infrastruktur SACOFA secara mampan untuk mengurangkan pertindihan, mengurangkan kesan alam sekitar dan menyokong komitmen matlamat alam sekitar mampan lebih luas.

Menurut Julaihi, SACOFA juga banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, mewujud peluang pekerjaan, membangunkan kontraktor tempatan dan menyokong perusahaan kecil dan usahawan teknologi Sarawak.

Infrastruktur yang disediakan oleh SACOFA, katanya, membuka laluan kepada pembangunan digital, masyarakat setempat untuk berinovasi dan menarik pelaburan dalam tempoh sukar.

Semasa banjir atau bencana, infrastruktur yang disediakan oleh SACOFA turut membolehkan mereka yang ditimpa bencana berhubung untuk mendapatkan bantuan.

Infrastruktur SACOFA menjamin kesalinghubungan kecemasan tidak terganggu untuk membolehkan agensi kerajaan menyelaras bantuan dan rakyat boleh dihubungi dan dimaklumkan.

Sejak 25 tahun lalu, SACOFA membangun menjadi tulang belakang landskap telekomunikasi Sarawak dengan lebih 1,688 menara dan lebih 12,000 kilometer (km) kabel fibre optic di darat.

Hadir sama Pengarah Urusan SACOFA, Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib.