Sarawak-Kanada kukuh kerjasama pembangunan tenaga lestari

KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Kanada terus memperkukuhkan kerjasama khususnya dalam pembangunan tenaga lestari.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Jodi Robinson, kedua-dua pihak kini mempunyai hala tuju sama untuk memastikan pembangunan tenaga yang mampan dengan memanfaatkan sepenuhnya sumber yang ada.

“Kunjungan hari ini untuk mengukuhkan hubungan antara Kanada dan Sarawak.

“Jadi pertemuan ini sebagai pengenalan untuk memahami kerjasama yang diutamakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan bagaimana Kanada boleh kembali dan meningkatkan kerjasama antara Sarawak dan Kanada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini pagi tadi.