Gong Xi Fa Cai, Ramah Tamah Aidilfitri kukuh perpaduan masyarakat majmuk

MATU: Perpaduan akrab masyarakat majmuk di sini, terserlah pada Majlis Gong Xi Fa Cai dan Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Selair.

Ia diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang memuji usaha sekolah tersebut menganjurkan program cukup signifikan itu.

“Majlis ini menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga sekolah dan komuniti, di samping menyemai semangat perpaduan antara kaum sejajar dengan konsep Malaysia Madani,” katanya pada majlis itu.

Katanya, majlis sebegini bukan sahaja menyemarakkan sambutan perayaan tetapi memperkukuhkan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat majmuk lebih-lebih di Sarawak.

Jelas beliau, majlis seumpama ini bukan sahaja dapat menceriakan warga sekolah, malah turut menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang harmoni dan bersatu.

Pelbagai aktiviti menarik antaranya jamuan Hari Raya yang menyajikan pelbagai hidangan tradisional dan moden, persembahan tarian pelajar sekolah yang memukau, pemberian duit raya kepada murid-murid serta cabutan nama bertuah.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran para ibu bapa, penduduk setempat serta wakil-wakil agensi kerajaan dan swasta yang menunjukkan sokongan padu terhadap program anjuran pihak sekolah.