Sarawak perlukan PUSPEN tambahan, tampung keperluan rawatan dan pemulihan

KUCHING: Seramai 253 klien sedang mengikuti rawatan dan pemulihan di PUSPEN di sini, setakat Mac 2025, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sro Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, bilangan tersebut meliputi, 84.2% (212 orang klien) golongan belia, 10% (40 golongan dewasa dan 5.8% (seorang klien) golongan remaja.

Selain itu, Agensi AntiDadah Kebangsaan Sarawak (AADK) juga merekodkan seramai 142 individu yang sedang menunggu kemasukan ke PUSPEN Kuching, katanya pada majlis sambutan Hari Raya Bersama Keluarga Klien di PUSPEN Kuching di sini.

Angka itu, katanya, menunjukkan Sarawak amat memerlukan penubuhan PUSPEN tambahan bagi menampung keperluan menyediakan rawatan dan pemulihan penagihan dadah secara formal.

“Besarlah harapan saya agar PUSPEN dapat ditubuhkan satu di Zon Utara (Miri) dan satu di Zon Tengah (Sibu),” tegas beliau.

Bagi memastikan klien kekal pulih, tambahnya, Kerajaan Sarawak telah mewujudkan satu program yang dikenali sebagai LIFE iaitu program Empowerment Untuk Keluarga Berpendapatan Rendah.

Melalui program LIFE itu, Kerajaan Sarawak menyediakan bantuan sehingga RM5,000, katanya.

Hadir sama Pengarah PUSPEN Kuching, Yuliani Yahya dan Ahli Lembaga Pelawat, DSP (B) Osman Adam.