SIMANGGANG: Pertandingan Pintu Gerbang Aidilfitri menyaksikan hadiah lumayan berjumlah RM10,000 menanti johan pada tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor yakin pertandingan itu nanti akan mendapat sambutan menggalakkan.
Katanya, pertandingan itu akan diadakan sama ada di peringkat Bahagian Sri Aman atau terbuka kepada kampung-kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga.
“Walaupun pada tahun ini tidak dipertandingkan, namun kita akan buat yang lebih hebat pada tahun depan
“Pemenangnya hanya sebuah kampung sahaja dengan hadiah lumayan RM10,000 menanti johan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Jom Berambeh Raya 2025 bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Hilir Simanggang.
Majlis dirasmikan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, malam tadi.
Menurutnya, mesyuarat bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) akan diadakan pada tahun ini untuk memuktamadkan sama ada pertandingan itu terbuka kepada Bahagian Sri Aman atau l kampung-kampung di kawasan DUN Lingga sahaja.
Jom Berambeh Raya 2025 itu dianjurkan oleh gabungan enam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) iaitu Kampung Masjid Baru, Kampung Haji Undom, Kampung Melayu Sekait, Kampung Datu, Kampung Tanah Baru Sembau dan Kampung Tanjung Engkabang.
Pada majlis tersebut, Dayang Noorazah turut mengumumkan akan menaik taraf Dewan Serbaguna Kampung Hilir Simanggang yang akan dimasukkan dalam projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026.
Sementara itu, Mohamad Shafizan turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada keluarga mangsa kebakaran di Kampung Hilir Simanggang, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, Temenggung Mohd Shah Achang, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Pemanca Abang Norin Abang Norudin, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, Suhaidi Los dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Linga, Sapiah Drahman.
