UiTMCS perkenal tabung makanan, Dapur HEP bantu pelajar B40

SAMARAHAN: Universiti Teknologi Mara Cawangan Sarawak (UiTMCS) memperkenalkan bantuan tabung makanan dan dapur hal ehwal pelajar (HEP) kepada pelajar universiti itu.

Rektor UiTMCS, Prof Dr Firdaus Abdullah berkata, langkah itu untuk membantu pelajar terbabit yang kebanyakan dari keluarga golongan B40.

Sehubungan itu, tabung makanan itu serta Dapur HEP bertujuan membantu mereka yang memerlukan makanan sepanjang proses pengajian di kampus.

“Inisiatif ini juga dapat membantu mereka mendapatkan keperluan makanan serta dapat mengurangkan beban dan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Aidilfitri Perdana 2025 UiTMCS yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di UiTMCS di sini, malam tadi.

Firdaus berkata, bantuan tersebut dapat mengalakkan pelajar supaya lebih fokus dalam pembelajaran tanpa memikirkan perkara berkaitan kos kehidupan.

Selain itu, beliau mendedahkan UiTMCS juga memberi peluang kepada pelajar lepasan pusat pengajian tahfiz yang ingin melanjutkan pengajian akademik dalam pelbagai bidang profesional yang dikenali sebagai Program Plus Tahfiz.