LINGGA: Pelajar anak Sarawak yang melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) digalak memohon bantuan dan biasiswa Yayasan Sarawak.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor antara bantuan itu ialah laptop percuma kepada pelajar yang memasuki IPT pada tahun pertama dan permohonan ini akan ditutup 30 April ini.
Katanya, terdapat juga Biasiswa Yayasan Sarawak Tun Taib kepada pelajar cemerlang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA atau swasta (IPTS) tempatan.
“Keutamaan diberikan kepada pelajar di IPTS milik Kerajaan Sarawak dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Sekolah Kebangsaan (SK) Lela Pahlawan Lingga, di sini, semalam.
Biasiswa Sarawak Tunku Abdul Rahman turut menyediakan biasiswa kepada pelajar cemerlang yang mengikuti pengajian di IPTA atau IPTS tempatan dalam bidang bukan STEM, tambahnya.
Beliau berkata semua permohonan ini boleh dipohon melalui sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) setiap bahagian atau boleh melayari laman Yayasan Sarawak https://yayasansarawak.org.my/my/biasiswa/.
