KABONG: Sebanyak 17 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) berjumlah RM3.14 juta akan dilaksanakan di sini tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi pelaksana dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu sentiasa memantau projek tersebut.
“Ini untuk memastikan setiap projek dibiayai Kerajaan Sarawak dilaksana dengan sempurna dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan tapak projek RTP di sekitar kawasan DUN Kabong, semalam.
Antara projek terbabit ialah bina baharu Dewan Serbaguna Terbuka Rumah Belayong Salleh Ulu Roban bernilai RM450,000, naik taraf Dewan Terbuka Rumah Nyandang Ulu Roban (RM100,000), naik taraf struktur berbumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir (RM100,000).
Selain itu, naik taraf jalan dan jeti Kampung Sessang (RM250,000), naik taraf Dewan LAKIN Nyabor (RM350,000), naik taraf Gelanggang Sepak Takraw Kampung Nyabor (RM80,000), bina baharu bilik sejuk Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Gerigat (RM300,000), bina baharu jeti nelayan Kampung Darat Gerigat (RM250,000), naik taraf Masjid Ar-Rahim Kampung Gerigat (RM150,000).
Juga menaik taraf Masjid Lama Kampung Alit Kabong (RM100,000), bina baharu jambatan di ladang sawit Kampung Metang Desa (RM200,000), naik taraf Surau An-Nur Rahman Metang Disa Kabong (RM100,000), baik pulih Pejabat Daerah Kabong (RM100,000), naik taraf Gelanggang Sepak Takraw Kampung Sungai Pala Kabong (RM80,000).
Selain itu, naik taraf pelbagai laluan belian kepada laluan konkrit di Kampung Hulu Lintang (RM270,000), naik taraf Rumah Sebaguna Skim Kelapa Tanjung Empiyong (RM60,000) dan naik taraf laluan belian ke laluan konkrit Lorong Ali Wan (RM200,000).
