KUCHING: Sarawak bukan mahu mengambil sepenuhnya hak ke atas sumber minyak dan gas sebaliknya hanya sebahagian sumber itu.
Timbalan Menteri Utiliti Sarawak, Dato Ibrahim Baki berkata demikian sekali gus menyangkal persepsi dan tafsiran pihak tertentu yang tidak tepat mengenai tuntutan Sarawak terhadap sumber tersebut.
“Tapi jangan beri kita tulang, kita mahu juga sikit isinya. Ini yang kami mahu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 Zon 1 N8 Satok di Dewan Datuk Amar Hajah Juma’ani SK Rakyat Bolhassan, di sini, malam tadi.
Ibrahim berkata, Sarawak juga ingin mengambil bahagian sebagai pemain dalam industri minyak dan gas tempatan dan bukan penonton serta mahu PETROS wujud bersama PETRONAS dan bukan bersaing.
“Biarkan perniagaan (tempatan) mengambil bahagian dalam kontrak PETRONAS, kami juga mahu terlibat dalam penerokaan, pengeluaran dan rantaian bekalan,” katanya.
Ibrahim yang juga Pengerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) sekali lagi memberi jaminan bahawa tidak ada kenaikan tarif elektrik di Sarawak walaupun kos pengeluaran elektrik meningkat berikutan kenaikan harga bahan mentah, buruh dan peralatan.
“Kadar tarif kita di Sarawak adalah antara terendah di rantau ini,” katanya.
Turut hadir isteri beliau, Datin Noor Akmar Hamdan; Setiausaha politik kepada Premier, Abdul Samad Gany dan Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim; Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbi dan pengerusi penganjur program, Naz Ismadee Khalit.
