DARO: Golongan wanita di daerah ini digesa supaya merebut peluang disedia kerajaan untuk muncul sebagai usahawan berjaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, Anjung Usahawan dan Bangunan Pasar Tani Kekal yang dibangunkan boleh dijadikan sebagai tempat strategik untuk golongan wanita muncul sebagai usahawan berjaya.
“Rebutlah peluang itu sebaik mungkin jika mahu bergelar usahawan berjaya,” katanya pada Majlis Penangguhan Kursus Woman Skills Training (WST) Outreach @ Daro anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), Pusat Khidmat DUN N.43 Daro serta Exco Pergerakan Parti Pesaka Bumiputera (PBB) N.43 Daro di Dewan Masyarakat Daro, semalam.
Katanya, wanita merupakan tunjang penting dalam pembangunan komuniti.
“Dan melalui program seumpama ini, kita bukan sahaja melatih mereka dengan kemahiran praktikal, malah membina keyakinan dan daya saing untuk berjaya dalam bidang keusahawanan,” katanya.
Program tersebut turut diserikan dengan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan wanita dalam masyarakat.
Pada majlis tersebut, Safiee turut menyampaikan sumbangan dana kepada Biro Wanita Kawasan Daro bagi menyokong penganjuran aktiviti-aktiviti mereka.
Hadir sama Pengarah JWKS, Yeo Kian Hin, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fridah Osman dan wakil Pegawai Daerah Daro, Yusuf Hossen.
